UniSZA LL.B Hons. - Programme Current Status

Tuesday, September 1, 2015

UniSZA Nafi Program Pengajian Undang-undangnya Tidak Diiktiraf

Published by: Bernama, on July 13, 2015




KUALA TERENGGANU, 13 Julai (Bernama) -- Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) menafikan dakwaan sesetengah pihak menyebarkan berita palsu kononnya Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian UniSZA (LLB UniSZA) tidak diiktiraf dan tidak mendapat kelulusan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA, Prof Dr Mahadzirah Mohamad berkata, isu berkenaan tidak seharusnya timbul dan tidak tepat memandangkan program LLB UniSZA telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 10 Mac 2006.

"Program ini juga telah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Julai 2009 dan mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 26 Julai 2010.

"Berdasarkan pengiktirafan tersebut, graduan LLB UniSZA adalah setaraf dengan graduan lulusan ijazah lain dan boleh menjawat jawatan di sektor awam serta swasta kecuali jawatan sebagai peguambela dan peguamcara," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Mahadzirah berkata, program LLB UniSZA telah mendapat pengiktirafan sementara daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LKPU) pada 7 November 2013.

"Pengiktirafan sementara ini membolehkan graduan LLB UniSZA menjawat jawatan sebagai peguamcara dan peguambela setelah lulus Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) yang dikendalikan oleh LKPU dan tamat menjalani latihan dalam kamar selama 9 bulan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

"UniSZA menyediakan program bimbingan secara percuma kepada graduan LLB UniSZA yang berminat untuk menduduki PSAG dan kita juga turut membayar yuran PSAG bagi graduan yang menduduki peperiksaan tersebut dan inisiatif ini merupakan langkah untuk membantu graduan sementara program LLB UniSZA mendapat pengiktirafan penuh daripada LKPU.

"Sejak mendapat pengiktirafan sementara daripada LKPU sehingga sekarang, pengurusan tertinggi universiti tidak pernah berhenti berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan penuh daripada LKPU, malah LKPU telah mempercepatkan jadual penilaian semula program LLB UniSZA dari bulan November 2015 kepada bulan April 2015, iaitu tujuh (7) bulan lebih awal dari tarikh yang telah dijadualkan," katanya.

Mahadzirah berkata, LKPU telah menjalankan penilaian semula program LLB UniSZA pada 14-16 April 2015 dan kini, UniSZA dalam proses menunggu keputusan penilaian berkenaan daripada LKPU.

"Saya tegaskan di sini, berita yang kini menjadi viral di laman sosial dan aplikasi Whatsapp mengenai program LLB UniSZA tidak diiktiraf adalah tidak benar malah kesemua 58 program di universiti ini mendapat akreditasi," katanya.



ALSO CITED AT: Berita RTM


No comments:

Post a Comment