UniSZA LL.B Hons. - Programme Current Status

Tuesday, September 1, 2015

UniSZA nafi lulusan LLB tidak diiktiraf

Published by: Utusan Malaysia, on 14 July 2015





KUALA TERENGGANU 13 Julai – Program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dengan Kepujian yang ditawarkan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) te­lah mendapat kelulusan Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan pada 10 Mac 2006.

Timbalan Naib Can­­selor (Akademik dan Antarabangsa) Unisza, Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad berkata, pro­gram itu juga diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Julai 2009 di samping mendapat ak­reditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 26 Julai 2010.

“Berdasarkan pengiktirafan itu, LLB Unisza adalah setaraf dengan lulusan ijazah lain dan boleh menjawat jawatan di sektor awam dan swasta kecuali jawatan sebagai peguam bela dan peguamcara.

“Bagi maksud menjadi peguambela dan peguamcara, program LLB Unisza telah mendapat pengiktirafan sementara daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LKPU) pada 7 November 2013.

“Pengiktirafan sementara ini membolehkan lepasan LLB Unisza menjawat jawatan sebagai peguamcara dan peguam bela setelah lulus Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) yang dikendalikan oleh LKPU dan tamat menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan penyebaran klip video keluhan seorang gadis bernama Zahra mengenai kesukaran hidup anak Melayu bandar yang dibuat di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEB) baru-baru ini.

Video gadis berusia 23 tahun itu mula menjadi viral di laman media sosial sejak beberapa hari lalu berikutan dakwaannya seolah-olah menggambarkan kegagalan pihak berkuasa menjanjikan kesenangan kepada lepasan universiti.

Zahra dikatakan lulusan undang-undang Unisza pada 2014 namun dalam video tersebut gadis itu mendedahkan untuk menjadi seorang peguam dia masih perlu menduduki satu pe­periksaan dan melibatkan kos yang tinggi sekali gus menimbulkan dakwaan lulusan LLB universiti itu tidak diiktiraf.

Sementara itu, Ma­hadzirah berkata, Uni­sza menyediakan program bimbingan secara percuma kepada lulusan LLB yang berminat untuk menduduki PSAG, malah akan membayar yuran PSAG bagi menduduki peperiksaan tersebut.

Inisiatif itu, katanya, merupakan langkah ke arah membantu pelajar sementara program LLB berkenaan mendapat pengiktirafan penuh daripada LKPU.

“Sejak mendapat pengiktirafan sementara daripada LKPU sehingga sekarang, pengurusan tertinggi Unisza tidak pernah berhenti berusaha mendapatkan pengiktirafan penuh daripada LKPU bagi membolehkan lepasan Unisza menjadi peguam tanpa perlu lulus PSAG.

“Berkat daripada usaha berterusan itu, LKPU mempercepatkan jadual penilaian semula program LLB dari bulan November 2015 kepada bulan April 2015, iaitu tujuh bulan lebih awal dari tarikh yang dijadualkan. LKPU telah menjalankan penilaian semula program LLB Unisza pada 14-16 April 2015 lalu,” katanya.

Menurut Mahadzirah, kini, Unisza dalam proses menunggu keputusan penilaian tersebut daripada LKPU bahkan, pihak pengurusan universiti juga telah mengadakan perjumpaan dengan menteri berkenaan untuk memaklumkan tentang perkara tersebut.

“Oleh yang demikian, perlu ditegaskan di sini bahawa apa yang diperkatakan tentang program LLB Unisza tidak diiktiraf adalah tidak benar sama sekali,” tegasnya.


No comments:

Post a Comment