#sayaZAHRA #sayasayangkanMALAYSIA
MAKLUM BALAS TERHADAP ISU “Lulusan UniSZA tidak diiktiraf?”
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ingin menegaskan di sini bahawa isu pengiktirafan tidak timbul kerana program Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian UniSZA (LLB UniSZA) telah diluluskan oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 10 Mac 2006. Program ini telah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Julai 2009 dan mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 26 Julai 2010. Berdasarkan pengiktirafan tersebut, graduan LLB UniSZA adalah setaraf dengan graduan lulusan ijazah lain dan boleh menjawat jawatan di sektor awam dan swasta kecuali jawatan sebagai peguambela dan peguamcara (advocate & solicitor).
Bagi maksud menjadi peguambela dan peguamcara, Program LLB UniSZA telah mendapat PENGIKTIRAFAN SEMENTARA daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LKPU) pada 7 November 2013. Pengiktirafan sementara ini membolehkan graduan LLB UniSZA menjawat jawatan sebagai peguamcara dan peguambela setelah lulus Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) yang dikendalikan oleh LKPU dan tamat menjalani latihan dalam kamar (chambering) selama 9 bulan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976. UniSZA menyediakan program bimbingan secara percuma kepada graduan LLB UniSZA yang berminat untuk menduduki PSAG. Malah, UniSZA juga akan membayar yuran PSAG bagi graduan UniSZA untuk menduduki peperiksaan tersebut. Inisiatif ini merupakan langkah untuk membantu graduan sementara program LLB UniSZA mendapat pengiktirafan penuh daripada LKPU.
Sejak mendapat pengiktirafan sementara daripada LKPU sehingga sekarang, pengurusan tertinggi UniSZA tidak pernah berhenti berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan penuh daripada LKPU. Pelbagai tindakan telah diambil untuk memenuhi keperluan LKPU bagi membolehkan graduan UniSZA menjadi “orang berkelayakan” tanpa perlu lulus PSAG. Malah berkat dari usaha yang berterusan ini, LKPU telah mempercepatkan jadual penilaian semula program LLB UniSZA dari bulan November 2015 kepada bulan April 2015, iaitu tujuh (7) bulan lebih awal dari tarikh yang telah dijadualkan. LKPU telah menjalankan penilaian semula program LLB UniSZA pada 14-16 April 2015 yang lalu. Kini, UniSZA dalam proses menunggu keputusan penilaian tersebut daripada LKPU. Pihak pengurusan Universiti juga telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pendidikan II dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memaklumkan perkara ini.
Oleh yang demikian, perlu ditegaskan di sini bahawa apa yang diperkatakan tentang program LLB UniSZA tidak diiktiraf adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI.
Profesor Dr. Mahadzirah binti Mohamad
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
No comments:
Post a Comment