UniSZA LL.B Hons. - Programme Current Status

DEAN



WAWANCARA BERSAMA DEKAN FUHA: 

ENCIK MOHD FUAD HUSAINI


Terima kasih Encik Fuad kerana sudi ditemuramah. Boleh Encik Fuad ceritakan sedikit latar belakang dan sejarah perkhidmatan di UniSZA daripada pensyarah biasa sehingga dilantik sebagai Dekan FUHA?

Sama-sama. Saya berasa bertuah dan berbesar hati kerana terpilih untuk menghiasi ruangan ini.Terima kasih kerana sudi mewawancara saya. Saya mula berkhidmat sebagai pensyarah di FUHA pada 1 Januari 2009. Pada awal perkhidmatan saya sebagai seorang pensyarah, saya telah dipertanggungjawabkan untuk mengajar dalam kursus ‘Equity and Trust’ dan ‘Law of Association and Company’ bagi peringkat diploma dan ijazah. Saya juga mengajar kursus ‘Moots’ dan kini mengajar kursus ‘Professional Practice” bagi pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang memandangkan saya pernah beramal sebagai seorang peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya selama lebih 10 tahun sebelum menukar arus ke bidang akademik.

Dalam masa tiga bulan selepas saya mula berkhidmat, saya telah dilantik sebagai pemangku Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) dan menjawat jawatan Timbalan Dekan penuh pada 1 Januari 2010. Perlantikan ini merupakan satu penghormatan besar buat saya memandangkan usia perkhidmatan saya di UniSZA masih hijau. Pada 1 Januari 2011 pula, saya telah dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan Dekan. Perkara ini merupakan satu kejutan besar bagi diri saya kerana saya tidak pernah membayangkan untuk menjadi tunjang bagi sesuatu institusi akademik. Pada mulanya saya berasa berbelah bahagi untuk menerima tanggungjawab sebesar ini lebih-lebih lagi ketika itu pihak fakulti perlu berhadapan dengan pihak akreditasi MQA. Namun memikirkan masa depan para pelajar yang mendambakan program pengajian yang mereka ikuti diiktiraf untuk melayakkan mereka menjadi seorang pengamal undang-undang, saya menerima tugas baru yang lebih mencabar ini dengan penuh rasa penghormatan.

Sebagai peneraju FUHA, tentunya tanggungjawab dan amanah yang diberi amat berat. Apakah misi Encik Fuad untuk meningkatkan prestasi fakulti dari semua segi?

Misi yang saya unjurkan buat keberkesanan fakulti adalah berbeza berbanding dengan fakulti-fakulti undang-undang yang lain kerana program-program pengajian di fakulti ini memfokuskan kepada undang-undang komersial, undangundang antarabangsa dan undang-undang Islam.

Saya ingin memastikan bahawa kebolehan pasaran graduan FUHA adalah setanding dengan graduan universitiuniversiti lain. Sebagai langkah awal ke arah pencapaian misi ini, satu kaji selidik telah dijalankan untuk menganalisa keperluan kerjaya dalam bidang undang-undang yang sesuai dengan bidang-bidang pemfokusan fakulti.

Struktur kurikulum perlu memenuhi garis panduan kualiti yang telah ditetapkan oleh MQA. Hal ini adalah untuk memastikan fakulti mematuhi standard amalan semasa terbaik semaksima yang mungkin. Hubungan kerja yang baik dengan fakulti undang-undang awam yang lain seperti di UIA, UM, UKM, USIM dan UiTM perlu diteruskan. Pihak fakulti telah mengambil beberapa pendekatan untuk menjalin erat kerjasama baik antara universiti-universiti ini. Antaranya adalah perlantikan Lembaga Kajian Semula Kurikulum, pemeriksa luar dan profesor pelawat yang merupakan ahli akademik fakulti undang-undang universiti-universiti yang telah disebut. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran, rekaan dan kandungan kurikulum secara umumnya adalah berdasarkan fakulti undang-undang yang sedia ada. Walau bagaimanapun, program undang-undang FUHA telah diubah suai untuk menambah baik program undang-undang sedia ada yang terdapat pada fakulti undang-undang yang lain.

Penekanan terhadap penggunaan Bahasa Inggeris perlu digiatkan. Penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah terutamanya dalam kalangan para pelajar berbangsa Melayu amat membimbangkan. Kelemahan ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan. Masalah ini juga dapat dilihat pada segelintir pensyarah yang mengajar dalam Bahasa Melayu. Oleh itu, pihak fakulti telah mewajibkan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Segala aktiviti dan majlis anjuran fakulti juga perlu dikendalikan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

Wawasan 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diangkat untuk menjadi amalan fakulti. Oleh itu, pihak fakulti telah mengambil pendekatan untuk menerima permohonan para pelajar bukan Melayu bermula pada Semester 1 Sesi 2009/2010 untuk memastikan bahawa golongan ini tidak terpinggir. Selain daripada itu, perkara ini juga dapat mencetus semangat para pelajar Melayu untuk menjadi lebih baik lagi memandangkan penguasaan Bahasa Inggeris golongan bukan Bumiputera adalah baik berbanding mereka. Hal ini juga adalah untuk memenuhi salah satu keperluan bagi akreditasi yang telah ditetapkan oleh Lembaga Kelayakan Profesyen Undang-Undang (LKPUU).

Jumlah staf akademik perlu ditingkatkan untuk memenuhi jumlah pelajar yang semakin meningkat. Ketiadaan Profesor, Profesor Madya dan jumlah pemegang PhD yang sangat sedikit perlu diatasi segera. Terdapat tujuh orang pensyarah telah melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD dan ada antara mereka akan kembali berkhidmat dengan fakulti pada tahun ini. Pihak fakulti juga telah mengambil pendekatan merekrut pensyarah separuh masa yang merupakan peguam atau pakar dalam bidang undang-undang tertentu untuk mengatasi masalah kekurangan pensyarah.

Apakah bentuk kepimpinan yang diamalkan dalam pentadbiran di FUHA?

Bentuk kepimpinan demokratik diamalkan dalam pentadbiran FUHA. Semua ahli fakulti digalakkan untuk terlibat sama dalam proses membuat keputusan. Semua maklumat yang melibatkan ahli fakulti akan disalurkan kepada mereka. Mereka akan dilibatkan dalam membuat keputusan dan menangani sesuatu masalah secara kolektif. Sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah, masalah tersebut akan dibincang dan diselesaikan bersama. Pemimpin fakulti hanya akan membuat keputusan sendiri sekiranya mempunyai kekangan masa untuk mendapatkan input semua pihak atau melibatkan masalah peribadi, tatatertib atau keselamatan warga fakulti.

Apakah senario dan cabaran yang dihadapi tuan dalam menerajui FUHA sehingga kini?

Dalam semua kepimpinan, saya percaya banyak cabaran dan senario yang dihadapi. Saya juga tidak terkecuali. Cabaran saya yang terutama ialah untuk belajar dengan seberapa segera sistem pengurusan universiti dan fakulti, lebih-lebih lagi bagi saya yang datang dari industri swasta. Cara saya bekerja dulu dengan sekarang mungkin berbeza dan saya perlu menyelaraskan dan mengimbangi system kerja saya agar lebih harmoni dengan semua pihak tanpa melenturkan prinsip kerja yang baik dan sempurna. Di samping itu juga, saya masih merangkak untuk menjadi seorang pengajar dan pendidik kerana ini juga adalah perkara yang baru bagi saya.

Cabaran seterusnya lebih tertumpu kepada peningkatan sistem kerja yang lebih kemas dan teratur di FUHA. Paradigma yang tersemai lama di FUHA dikikis perlahan-lahan untuk mewujudkan pasukan kerja yang lebih dinamik, cekap dan ‘resilient’ terhadap apa jua tugas yang dilemparkan kepada mereka. Perubahan minda kepada sikap keterbukaan dan penerimaan kepada idea-idea baru juga diterapkan secara berperingkat kepada staf sokongan FUHA, ahli akademik dan juga para pelajar FUHA amnya.

Apakah usaha dan strategi yang dilaksanakan untuk memperkasa FUHA dari segi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta penerbitan?

Pihak fakulti telah mengambil langkah aktif dengan melantik dan merekrut ahli akademik bertauliah dari dalam dan luar Malaysia. Ahli akademik FUHA digalakkan untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat pasca siswazah iaitu Sarjana atau PhD. Penambahbaikan sedang dilakukan kepada kemudahan pengajaran serta pembelajaran sedia ada untuk memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.

Ahli akademik FUHA telah dihantar untuk menghadiri bengkel dan seminar yang menggalakkan kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Pihak fakulti telah meningkatkan kelayakan kemasukan akademik pelajar untuk meningkatkan kualiti graduan pada masa hadapan.

Kurikulum program disemak semula setiap tiga tahun untuk mengekal serta meningkatkan kualiti program. Pihak fakulti telah melibatkan industri undang-undang untuk mengkaji dan menangani keperluan semasa profesyen undang-undang. Perundingan tetap dengan fakulti undangundang lain terutamanya dalam Majlis Dekan-dekan Undangundang juga dijalankan untuk memastikan pihak fakulti dimaklumkan mengenai metodologi dan strategi pengajaran dan pembelajaran terkini. FUHA telah mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah yang telah dikenal pasti iaitu:

1. Menyediakan Perancangan Strategik FUHA dan RMK-10 dan juga bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh pihak pengurusan universiti untuk mengukuhkan hala tuju FUHA.

2. Menterjemahkan perancangan strategik dalam satu pelan tindakan yang mempunyai sasaran pencapaian dan penunjuk prestasi.

3. Perancangan pengenalan program baru seperti program pasca siswazah dan Ijazah Hubungan Antarabangsa adalah selaras dengan perancangan strategik FUHA. Untuk mempergiatkan aktiviti tujuan pengantarabangsaan, perancangan strategik berkesan telah dirangka untuk menjalin hubungan antara fakulti dengan institusi sama ada dari dalam dan luar negara. Lawatan akademik ke universiti-universiti relevan dari dalam dan luar negara, jalinan kerjasama dengan mereka, penglibatan dan penyertaan ahli akademik pada peringkat antarabangsa seperti latihan, pertukaran kemahiran antara organisasi antarabangsa seperti universiti dan pusat kajian dan penyeliaan pelajar pasca siswazah adalah antara perancangan strategik yang direka pihak fakulti untuk mencapai pengantarabangsaan. Buat masa ini, FUHA akan mengadakan jalinan hubungan kerjasama dengan Aberyswyth University, Wales & Nottingham Trent University, UK untuk manfaat pelajar dan pensyarah FUHA.

Kekurangan bilik kuliah sedikit sebanyak dapat diatasi dengan pembinaan kemudahan baru seperti blok akademik baru yang mempunyai auditorium yang berfungsi sepenuhnya dan beberapa bilik kuliah. FUHA juga telah menggalakkan para pelajar untuk menyertai pertandingan undang-undang seperti Moots, debat dan rundinganpelanggan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidangbidang tersebut telah dilantik sebagai penasihat dan jurulatih kepada para pelajar.Pada tahun ini, dua orang pelajar Ijazah Undang-Undang FUHA telah berjaya menjuarai pertandingan Konsultansi Guaman dan seterusnya mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.Ini adalah suatu pencapaian yang membanggakan bagi fakulti Undang-Undang yang termuda di Malaysia.

Khidmat daripada Profesor Adjung dari industri iaitu Y.A. Bhg. Tun Zaki Tun Azmi (Mantan Ketua Hakim Negara) dan Y. Bhg. Tan Sri Nik Hashim Nik Abd. Rahman (Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan) memberi banyak faedah dan kebaikan kepada pelajar dan warga FUHA. Selain daripada itu, pihak fakulti telah melantik Profesor Pelawat, yakni Profesor Dr. Rahmat Mohamad, Setiausaha Agong African Asia Legislative Consultative Organisation (AALCO) untuk menyemarakkan penyelidikan dan penerbitan terutamanya dalam bidang undang-undang antarabangsa.

Satu kolaborasi antara FUHA dan UniSZA telah dirancang untuk mengadakan kerjasama penyelidikan berhubung isu semasa dalam bidang hubungan antarabangsa dan juga undang-undang antarabangsa. Beliau juga menawarkan tempat latihan industri kepada pelajar dan pensyarah FUHA sama ada di New Delhi, India (ibu pejabat AALCO) atau New York, Amerika Syarikat (pejabat cawangan pemerhati AALCO) untuk merasai pengalaman dan meningkatkan pengetahuan diplomatik antarabangsa secara peribadi.
Latihan industri pula telah mendapat sokongan padu industri terutamanya dari badan kehakiman dan firma guaman seluruh Malaysia dalam cubaan untuk meningkatkan kualiti para graduan. Pelaksanaan Latihan Industri yang sistematik juga menjamin imbangan dengan pihak Industri berterusan.

Apa perancangan Encik Fuad untuk masa hadapan fakulti?

FUHA UniSZA adalah unik kerana ianya merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan program undang-undang di Pantai Timur. Saya percaya ianya boleh menjadi tempat rujukan, pemangkin dan penghubung antara pengamal undang-undang dan masyarakat awam terutamanya di Pantai Timur. Justeru itu, pihak fakulti berhasrat untuk menyemai lebih banyak usahasama dengan pengamal undang-undang di rantau ini bagi menyemarakkan pengetahuan, perkhidmatan dan penyelidikan berkaitan undang-undang. Antara rancangan dalam masa terdekat ini ialah pihak fakulti ingin menubuhkan satu pusat bantuan guaman khususnya kepada warga UniSZA dengan usahasama pihak Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu dan Jabatan Bantuan Guaman.

Pihak fakulti juga dalam perangkaan mengadakan hubungan kerjasama dengan dua buah universiti daripada United Kingdom yakni University of Aberystwyth dan Nottingham Trent University. Wakil kedua-dua buah universiti ini telah datang melawat UniSZA pada tahun ini dan juga telah memberi syarahan akademik kepada pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah FUHA secara pro bono dalam rangka lawatan mereka. Salah satu daripada terma kerjasama ialah pihak universiti berkenaan bersetuju memberi tajaan potongan 50% yuran pengajian kepada seorang pelajar FUHA yang mahu melanjutkan pengajian ke sana sama ada dalam program Ijazah Muda mahupun program Sarjana. Selain itu, antara aktiviti yang dirancang juga adalah mobiliti pelajar dan staf akademik, pelantikan Profesor Pelawat serta kolobrasi penyelidikan antara institusi. Kerjasama dengan universiti-universiti berkenaan diharap dapat menyemarakkan perkembangan akademik FUHA.

Penawaran program dalam bidang Hubungan Antarabangsa juga adakan dilaksanakan dengan program Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa dengan Undang-Undang Antarabangsa yang dijangka akan ditawarkan pada September 2013 kelak. Program ini yang akan diketuai oleh Penyelaras Program merupakan satu program unik di mana ianya satu-satunya program ‘double major’ seumpama ini yang mengabungkan Hubungan Antarabangsa dan Undang-Undang Antarabangsa. Program ini juga diharap dapat memangkin penyelidikan dalam isu hubungan antarabangsa dan undang-undang antarabangsa. Perkembangan Undang-Undang Antarabangsa yang tercipta sejak beratus tahun lampau dari benua Eropah harus dilihat semula pelaksanaannya dari kacamata Benua Asia dan juga kacamata undang-undang Syariah.

Apakah niche FUHA dalam meningkatkan prestasi fakulti?

FUHA memfokuskan kepada usaha-usaha pengajaran dan penyelidikan ilmu-ilmu profesional dan keantarabangsaan. Ini dapat dilihat dari segi usaha fakulti untuk menerapkan suasana pembelajaran undang-undang dalam bentuk ‘Student Law Office Programme’ terutamanya kepada pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Dari sudut ini, para pelajar dipupuk untuk bekerja secara berpasukan dalam ‘firma’ masing-masing dan melakukan banyak kerja-kerja lapangan yang berbentuk kemahiran praktikal yang diperlukan sebagai pengamal Undang-Undang.

Selain daripada itu, pelajar-pelajar turut didedahkan dengan kaedah-kaedah perundangan dan penyelidikan yang mana pelajar perlu menjalani pelbagai kerja khusus bagi menggilap kemahiran yang dipelajari dalam kelas.

Para pensyarah juga digalakkan untuk mengadakan kerjasama dengan badan profesional seperti Majlis Peguam Negeri Terengganu dan Jabatan Peguam Negara & Kehakiman dalam meneroka peluang-peluang kerjasama antara badan-badan tersebut dengan fakulti.Selari dengan fokus fakulti ke arah keantarabangsaan, pelbagai usahasama juga dijalankan dengan pihak-pihak luar seperti AALCO, Nottingham Trent University dan Aberyswyth University.